Sumber air tanah tak mudah tercemar

HIDROLOOGI

Oleh Habsah Dinin dan Mona Ahmad

bhnews@bharian.com.my

2010/04/11


SUMBER air tanah kaya dengan bahan mineral boleh terus digunakan sebagai air minuman, tetapi perlu diuji terlebih dulu.KELEBIHAN dan kebaikan air tanah memang tidak dapat dinafikan. Ia juga sumber air yang tidak mudah terdedah dengan pencemaran bukan seperti air permukaan.


Sumber air tanah yang kaya dengan bahan mineral boleh terus digunakan sebagai air minuman, tetapi perlu terlebih dulu diuji kesesuaiannya sebelum digunakan orang ramai. Pensyarah Jabatan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Shaharin Ibrahim, berkata bukan semua air tanah mempunyai rasa yang sama kerana ia bergantung kepada jenis batuan di mana air itu dikeluarkan. “Lazimnya, air tanah dari kawasan granit dikenali sebagai `sweet water’ kerana ia lebih sedap berbanding air tanah di kawasan batuan jenis lain. Lebih menarik ialah kebanyakan kawasan di Banjaran Titiwangsa di Semenanjung adalah terdiri daripada batuan granit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di kampus UPM, Serdang, baru-baru ini.


Dr Shaharin berkata pelbagai kaedah perlu dilaksanakan sebelum satu-satu kawasan itu boleh dibina telaga untuk mengeluarkan air tanah dalam skala yang besar.
Katanya, langkah pertama ialah mengenal pasti kawasan yang ada air tanah menerusi pengimejan satelit.


“Menerusi pengimejan satelit, kita boleh melihat kedudukan air tanah dalam lingkungan 100 hingga 140 meter ke dalam bumi,” katanya.

Apabila, satu-satu kawasan itu dikenal pasti, barulah pasukan yang terdiri daripada mereka yang mahir dan terlatih serta dilengkapi peralatan geofizik ke lokasi berkenaan untuk mencari air tanah dengan menggunakan teknik pengimejan kerintangan elektrik dan pengkhutupan teraroh (induced polarization).

“Proses ini agak sukar kerana pasukan terbabit terpaksa mencari jalan untuk ke kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi air tanah yang banyak. Ada kalanya kawasan itu tiada jalan masuk dan berada di tengah-tengah hutan belantara,” katanya.
Dr Shaharin berkata selain itu, aspek penting yang perlu ditekankan ialah mengenal pasti kawasan tercemar dan mengelak daripada membangun air tanah di kawasan itu.
Katanya, walaupun air tanah tidak mudah tercemar berbanding air permukaan tetapi ia tidak lari dari pencemaran dalaman.
Justeru, bagi mengelakkan berlakunya sebarang pencemaran, telaga perlu dibina di kawasan selamat termasuk tidak berada di lingkungan kawasan yang terdedah dengan pencemaran seperti tapak pelupusan sampah.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah melakukan kerja penggerudian dan mencari tempat yang sesuai untuk dibina telaga.

Proses penggerudian adalah langkah yang paling mencabar kerana ada kalanya mata gerudi tidak boleh masuk jauh ke dalam bumi berikutan pelbagai masalah lubang gerudi,” katanya.

Katanya, semasa proses pembinaan telaga, sampel air akan dikumpulkan daripada setiap lapisan tanah yang mengandungi air dan dikaji di makmal sebelum ia dipastikan selamat untuk diguna.

Lazimnya, rawatan untuk air tanah adalah pada kadar yang minimum berbanding air permukaan.

Di samping itu, enap cemar yang terhasil daripada rawatan air tanah adalah jauh lebih sedikit berbanding yang terhasil daripada rawatan air permukaan kerana kejernihan air tanah.
Selain menggunakan pengimejan satelit, teknik terbaru yang digunakan untuk mengesan air tanah ialah gelombang radio dan ia boleh mengenal pasti lokasi rekahan dalam batuan yang berpotensi untuk membekalkan air.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar